Wednesday, August 13, 2008

hadith 12

“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun bangun hendak bertindak ke atasnya. Maka rasulullah s.a.w bersabda (yang maksudnya): “Biarkan dia (hingga selesai ia membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas kencingnya itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

hadith 11

Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata,”Sesungguhnya aku melambat-lambatkan dari sembahyang subuh disebabkan imam itu memanjangkan bacaannya ketika bersembahyang bersama kami.” (Abu Mas’ud berkata) aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberikan nasihatnya lebih dari marahnya pada hari ini. Sabdanya, “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya antara kamu semua ada (melakukan sesuatu) menyebabkan orang lain lari, sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada orang ramai hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana sesungguhnya makmum dibelakangnya terdiri daripada orang tua, kanak-kanak kecil dan orang yang hendak menguruskan keperluannya dengan segera”.

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 10

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “(Yarhamukallah)”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.”

hadith 9

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya apabila seorang manusia itu melaknat sesuatu, maka laknatnya itu akan naik ke langit lalu pintu akan ditutup supaya ia tidak dapat naik. Kemudian laknat itu akan turun ke bumi lalu pintu bumi tertutup dari dimasuki. Laknat itu mencari jalan kiri dan kanan lalu ia tidak menjumpai jalan haluan. Lalu laknat itu kembali kepada orang yang dilaknat, sekiranya orang itu memang layak dilaknat maka laknat itu akan terkena padanya. Sekiranya dia bukan ahli yang layak menerima laknat maka laknat itu akan kembali kepada orang yang melaknat itu semula. ”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 8

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kau muslimin, lalu ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 7

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah, “Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda,”Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 6

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 5

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat”

Hadith 4

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 3

Dari Jabir r.a bahawa Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang mati pada masa ia taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dalam keadaan yang menyukakan; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakan. ”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith 2

Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga.”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith

Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”

Sumber : MASTIKA HADITH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia