Thursday, June 18, 2009

Rezeki

Agama: Kerja beretika jamin peroleh rezeki berkat

ISLAM tidak suka umatnya menganggur, sebaliknya menuntut setiap orang bekerja, berusaha mencari rezeki halal bagi menyara diri dan keluarga. Apabila seseorang itu menjalankan tugas atau bekerja, dengan sendirinya bererti mereka sedang menunaikan amanah Allah.

Menurut Islam, setiap kerja yang diredai oleh Allah dan disertai dengan niat adalah ibadat. Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap lapangan pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya dimulai dengan niat, ia adalah satu ibadat.

Namun, Islam menggariskan lima etika berkerja yang harus dipatuhi untuk memastikan keberkatan rezeki:

1: Ikhlas dan amanah

Bekerja dengan ikhlas bererti bekerja dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa jawatan yang dipegang adalah hasil permohonannya sendiri dan bukanlah ia dipaksa memenuhi jawatan itu. Maka dengan sendirinya wajarlah seseorang pekerja itu menjalankan tugasnya dengan sepenuh kerelaan dan kesedaran bahawa kerja yang dilaksanakan olehnya itu adalah suatu amal soleh dalam usaha mengabdikan diri kepada Penciptanya di samping berusaha untuk menyara diri dan keluarga yang dikasihi dan berkhidmat kepada masyarakat.

Seterusnya, setiap insan mestilah bersyukur kepada Allah kerana rahmat-Nya kepada kita yang tidak terhitung. Kesyukuran kita seharusnya memuncak lagi sekiranya kita menginsafi bahawa banyak lagi manusia lain yang masih menganggur dan tidak dapat menyara keluarga dengan sewajarnya.

Kita juga hendaklah bersyukur kerana dengan jawatan atau kerja kita ini, kita dapat mengikut serta menyumbangkan tenaga di dalam usaha membangunkan negara yang tercinta. Moga-moga tercapailah cita-cita murni untuk membangunkan suatu negara yang diredai Allah.

Sekiranya seseorang itu dapat menghayati dan mensyukuri segala rahmat Allah, insya-Allah kita akan dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia'. – Riwayat Al-Quda

2: Cekap dan tekun

Ketekunan adalah suatu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya tekun dalam menjalankan tugas. Rasulullah saw. ada bersabda dengan maksud: "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun". - Riwayat Al-Baihaqi.

Apabila hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapan. Mutu kecekapan seseorang itu akan terus meningkat jika pekerja itu sanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya sepanjang masa.

3: Bekerjasama

Di dalam perkhidmatan awam bahkan di dalam sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja itu bertugas dalam suatu kumpulan pekerja yang tertentu. Untuk menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang, sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah bekerjasama, tolong-menolong melaksanakan tugas.

Sikap bantu membantu di antara satu sama lain di antara pekerja, akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira. Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan. Allah swt menegaskan, maksudnya: "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan… “ Surah Al-Maidah, ayat 2

Selain bekerjasama dalam menjalankan tugas, hendaklah diwujudkan satu budaya bagi menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran, mengkaji masalah yang ada dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul. Perbincangan seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama.

4: Mengabdikan diri kepada Allah

Dengan menyedari dan menghayati bahawa manusia adalah hamba Allah, maka sewajarnyalah setiap manusia mengabdikan dirinya kepada Allah, dengan mengikuti segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya selaras dengan firman Allah SWT, bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa". – (Al-Baqarah : 21

Setiap penjawat awam hendaklah menjalankan tugasnya dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya ia tidak menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya maka bererti pekerja tersebut tidak menunaikan amanah kepada Allah. Seseorang pekerja hendaklah menyedari dan menghayati bahawa bekerja untuk mencari nafkah yang dimulai dengan niat itu adalah ibadat.

Setiap penjawat awam harus menyedari bahawa bekerja itu bererti beribadat, maka sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

5: Pekerjaan halal

Tidak dibenarkan bekerja dengan unsur penipuan dan menindas, juga dilarang bekerja di tempat yang tidak halal seperti membuat arak, menjual empat nombor ekor dan terbabit dalam usaha menjual diri (pelacuran).

Malah, seseorang itu tidak menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti ponteng, mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinya ia akan dihukum di akhirat kelak walaupun mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib atau pun hukuman di dunia ini.

Syukur Rezeki

SESUNGGUHNYA rezeki berupa pemberian atau habuan Allah kepada makhluk- Nya. Anugerah Allah tidak sekadar berupa kekayaan, sebaliknya meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Rezeki Allah meliputi apa saja yang diperlukan dalam kehidupan termasuk makanan, pakaian, kediaman dan sumber yang berkaitan.

Keperluan itu untuk kesejahteraan jasmaniah insan. Selain itu, rezeki untuk kesuburan rohaniah juga penting. Ini termasuk ilmu pengetahuan, kecerdasan serta taufik dan hidayah.

Pintu rezeki untuk kenikmatan hidup di dunia terbuka kepada semua insan sama ada kafir atau mukmin dan yang jahat atau baik. Rezeki untuk kesejahteraan jasmani turut dikurniakan kepada semua makhluk. Tetapi rezeki untuk kenikmatan hidup di akhirat hanya dikurniakan kepada orang beriman.

Sejarah sejak zaman rasul dan ulama hingga ke hari ini membuktikan salah satu sebab golongan kafir menolak agama Allah kerana mereka terlalu terpesona dengan kehidupan dunia.

Golongan kafir menganggap rezeki datang daripada hasil titik peluh mereka semata-mata, sedangkan orang Islam menganggap rezeki itu daripada sumber kemurahan dan rahmat Allah s. w. t.

Di akhir Ayat 212 Surah al-Baqarah, Tuhan berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab."

Ini memberi pengertian rezeki yang dikurniakan Allah kepada seseorang itu perlu disyukuri. Jangan sekali-kali kita berasa angkuh dan sombong dengan kekayaan harta yang kita miliki.

Kita juga tidak seharusnya menyangka kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang diperolehi itu milik mutlak kita yang tidak boleh digugat. Sesungguhnya kunci rezeki di tangan Allah s. w. t. Allah yang menentukan pembahagian rezeki kepada hamba-Nya.

Dalam kehidupan seharian, isu rezeki bukan satu persoalan yang selalunya tunduk kepada perkiraan hisab manusia. Cara dan petua untuk mendapatkan rezeki tidak selama-lamanya tepat.

Pada keseluruhannya, rajin dan usaha syarat untuk mencapai kejayaan dan menjamin seseorang itu menjadi kaya. Tetapi syarat ini kadangkala tidak tepat dan berakhir dengan kegagalan dan menemui jalan buntu.

Ada juga golongan membuat andaian ilmu yang tinggi anak kunci rezeki. Semakin banyak sijil dan semakin tinggi ilmu seseorang insan maka semakin luaslah pula rezekinya. Tetapi ada juga orang yang cetek ilmu pengetahuannya atau buta huruf mampu menjadi hartawan. Tidak kurang juga orang tercicir dalam pelajaran menjadi pemilik atau tauke besar.

Selain itu, ada pula golongan mengatakan kekayaan itu terletak kepada peluang dan nasib seseorang dan tidak kurang pula meletakkan kekayaan dan rezeki itu kepada hubungan seseorang. Semakin luas hubungannya dengan orang berkuasa maka semakin cerah peluangnya mendapat rezeki.

Inilah di antara syarat yang selalu dikaitkan untuk mendapat rezeki lumayan, tetapi semua syarat itu ada kalanya tidak membawa kejayaan.

Sesungguhnya urusan rezeki bukan ditentukan manusia, tetapi ia dalam tangan Allah s. w. t semata-mata. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dialah (Allah) yang memegang kunci rezeki seluruh alam ini dan Dialah yang berkuasa memberi dan menarik serta meluas dan menyempitkan pemberian rezeki itu.

Dari itu janganlah kita bersifat angkuh dan sombong dengan rezeki yang melimpah ruah dan usahlah kita bermegah-megah dengan kurniaan Allah kepada kita. Sebaliknya kita seharusnya bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah s. w. t itu.

Sesungguhnya balasan bagi orang yang bersyukur jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan lagi nikmatKu. Jika kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih."
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sedar akan hakikat ini, maka bersyukurlah dengan nikmat dan rahmat kurniaan Allah s. w. t. Semoga dengan berbuat demikian, rahmat kurniaan rezeki itu akan terus berkekalan dan hidup kita akan diberkati Allah hingga ke akhir zaman. Insya-Allah.

Kesimpulan:

Kita manusia harus berusaha secara ! halal kemudian bertawakal kepada ALLAH s. w. t serta berdoa semoga dikurniakan rezeki yang berkat.
Amin