KADANGKALA bertemu dengan orang yang kita tidak saling kenal mengenali antara satu sama lain, boleh memberikan kita pandangan yang unik, lahir dari hati kecil mereka terutama apabila bercerita tentang kehidupan dan kejadian yang berlaku di sekeliling kita.
Berbanding jika kita berbual dengan orang yang kenal siapa diri kita, berkemungkinan ada pandangan dan perkataan yang diluahkan lebih terkawal, susun katanya lebih teratur dan mungkin ada antara cerita mereka yang tidak lahir dari isi hati. Ini mungkin terjadi kerana mereka ada perasaan segan silu.
Saya ceritakan demikian kerana secara kebetulan baru-baru ini saya bertemu dengan seorang tuan punya bengkel kereta, Badrul namanya yang ditemui secara tidak sengaja di sebuah bengkel di ibu kota. Setelah menerangkan masalah kereta yang saya alami, beliau mula melakukan tugasnya. Tetapi kemudiannya beliau mengarahkan pekerjanya untuk menyambung kerja, kerana katanya masalah kereta saya tidaklah sebesar mana. Kacang! Sekejap lagi boleh beres.
Katanya, dia tidak boleh buat semua kerja, takut nanti pekerjanya tak boleh buat semasa ketiadaannya, lagi pun kalau selalu dibantu, sampai bila mereka nak pandai. Ceritanya, dia lain dari kebanyakan tuan punya bengkel kereta atau pengusaha yang pernah ditemui. Mungkin pandangan saya salah, tetapi Badrul dirasakan suka memberi ilmu supaya pekerjanya cepat pandai. ''Manalah tahu satu hari nanti mereka pun boleh buat bisnes yang sama. Tak rugi kalau ramai orang 'kita' pandai buat bisnes macam dia jalankan, jangan tamak, lagi banyak kita bersedekah ilmu lagi banyak kita boleh dapat rezeki.'' Itu falsafahnya.
Lagi pun dia sedang menunggu surat, insurans dan borang kereta dari kawannya, yang sudah setengah jam ditunggu masih belum tiba. Agaknya kerana ingin menghilangkan rasa bosan, beliau mula berbual dan menasihati, kereta saya pada pandangannya tidak dijaga dengan rapi. Memang pun. Pemandunya cuma pandai mengguna kereta. Bila ada masalah baru terkial-kial.
Katanya, dia jaga kereta macam jaga isteri, biar keretanya tak cantik, dah tua, tak berkilat, tetapi dia memberi perhatian terhadap prestasinya, sebab itu keretanya tak ada masalah. ''Kereta tuan bengkel kereta mestilah tak ada masalah.'' Saya menyampuk. Tetapi beliau meneruskan, ceritanya, ''kalau tak mahu kereta bermasalah kenalah jaga. Jaga kereta macam jaga bini, kalau tak mahu bini membebel jangan buat benda yang dia tak suka barulah hidup kita senang.
''Ini tidak, nak suruh bini aja jaga laki, tapi si laki langsung tak peduli perasaan bini. Bila bini marah mulalah nak bercerai. Nak cari lain, konon yang baru lebih baik boleh layan dia lebih istimewa, tapi selagi perangai si laki tak berubah, maka selagi itulah dia tak boleh bahagia dalam berumah tangga.
''Tengok cerita paper sehari dua ini. Tak habis-habis cerita artis bercerai berai. Perkahwinan orang zaman sekarang ini terlalu rapuh, mereka tak fikir panjang. Budak-budak muda sekarang pun sama, belum tentu orang baru yang dipilih lebih baik dari isteri yang lama. Setiap orang tu ada kelebihan dan kekurangannya, kita kenalah sesuaikan dengan keadaan, terutama dengan diri kita sendiri. Kita kena cermin diri kita baru cakap pasal orang lain.
''Walapun saya orang lelaki, tapi saya pun tak suka dengan perangai sesetengan orang lelaki sekarang. Susah nak faham perangai mereka. Mereka selalu fikir dia suami, dia orang lelaki, dia aja yang betul, semua tindakannya tepat dan terbaik, tetapi ada yang hampeh. Tak ada perancangan tak tahu nak menyimpan duit langsung.
''Jadi apa cadangan Encik Badrul untuk atasi masalah ini?'' tanya saya. Dan marilah kita baca isi hati beliau seperti yang saya pendekkan di bawah ini.
''Pada saya orang perempuan ni jangan jadi bodoh sangat, kena jaga diri, kena bekerja, baru ada harga diri. Orang lelaki fikiran mereka singkat, tak panjang (bukan semua) mereka nak seronok aja. Bila ada masalah, isteri kat rumah jadi sasaran. Kalau isteri bekerja dia boleh berfikir panjang, boleh buat perancangan, namun bukan semua isteri macam tu, ada yang hampeh tak tahu jimat langsung, menyusahkan aja buat menghabiskan beras aja. Tapi biasalah, kalau isteri pandai mana ada suami boleh dengar nasihat isteri. Suami ni Ego!
''Saya cakap terus terang, suami memang tak suka kalau isteri tak bekerja. Masa bercinta memang okey, alright! Tak kerja lagi bagus dia boleh tanggung, tapi bila dah beranak pinak baru tahu langit tinggi rendah. Zaman ini semua pakai duit. Kalau poket zero memang susah! Waktu tu mulalah balik rumah masam muka. Serba tak kena. Mulalah menyampah kalau kaum puak isteri datang kat rumah selalu, buat menyusahkan hidup dia aja.
''Waktu itulah mereka mula benci bila isteri minta duit walaupun untuk belanja dapur atau untuk ke pasar. Suruh isteri berjimat, nak jimat macam mana benda semua dah mahal. Mulalah nak cari isteri baru yang bekerja dengan harapan boleh bantu meringankan beban hidup mereka.
''Tapi kalau dah tak ada duit nak kahwin juga, tentu cari masalah, mana ada isteri baru nak tanggung makan minum isteri dan anak-anak suami. Mula-mula okeylah, tapi lama-lama berperang juga jadinya. Lagi hidup tak boleh aman.
''Tapi kalau isteri bekerja memang suami suka, paling tidak tak menyusahkan hidup, kena tanggung beli pakaian dan sebagainya. Lagi bagus kalau boleh tolong bantu ringankan masalahnya seperti membeli motosikal ataupun kereta. Bolehlah melaram.
''Lagi pun kalau isteri bekerja, mereka tak ada masalah nak bantu keluarga sendiri. Tak serba salah nak ajak saudara mara atau adik beradik datang ke rumah. Suami tak boleh marah sebab dia pun menyumbang pada keluarga. Isteri nak bagi emak dia duit pun suami tak boleh larang.
''Tapi lainlah kalau suaminya yang suruh dia berhenti kerja kerana dia mampu. Namun sebagai isteri, dia mesti buat perjanjian terlebih dahulu, jangan besok kalau saudara mara dia datang suami tunjuk muka masam, atau kalau emak mertuanyanya minta tolong dia mesti bantu.
''Saya ada tiga anak perempuan, dua orang sedang lanjutkan pelajaran di universiti dan kolej, seorang lagi sekolah menengah. Saya dah cakap dengan dia orang dia mesti cari kerja, mesti bekerja, mesti ada duit sendiri, jangan nak harap duit laki saja. Kalau tak dapat kerja, cari ikhtiar buat bisnes. Mesti ada perancangan masa depan.
''Sebagai ayah, saya dah ingatkan dia jangan nak fikir seronok bercinta aja. Cinta tak boleh bagi makan, duit boleh bagi kita makan. Zaman ini semua pakai duit. Cinta bukan jaminan boleh hidup bersama sampai mati, bukan jaminan kebahagiaan, sebab itu saya bekalkan mereka dengan pelajaran supaya mereka boleh berfikir dengan baik tentang masa depan.
''Tapi kalau mereka masih degil juga tak makan nasihat jangan salahkan kami emak ayah mereka kerana tak bagi nasihat. Dah banyak contoh saya bagi mereka lihat supaya boleh berfikir dengan baik, jangan fikir seronok boleh hidup bahagian dengan cinta aja. Cinta saja tak sampai ke mana, bila ada masalah apa cinta boleh buat? Akhirnya suami isteri bergaduh.
''Zaman sekarang kalau nak cari suami kena buka mata besar-besar, lihat latar belakang bakal suami supaya tak menyusahkan kita kemudian hari. Lagi pun apa guna ada suami kalau menyusahkan hidup kita aja. Saya tak kisah kalau anak saya tak kahwin kerana tak jumpa lelaki yang sesuai Buat apa susahkan diri tanggung biawak hidup.
''Saya sedih tengok sesetengah gadis yang berkahwin kerana terpaksa, konon malu kalau dikata andartu. Pada saya lebih baik tak kahwin atau jadi andartu daripada hidup merana. Orang keliling nak kata apa pun pedulikan, daripada kahwin dengan penagih dadah atau kaki judi lebih baik jadi single. Apa nak susah kerana kita bekerja.
''Sebab itu isteri saya pun saya suruh bekerja bantu saya uruskan bisnes bengkel. Saya tak mampu buat seorang. Daripada saya gajikan kerani lebih baik isteri sendiri, dia tolong uruskan gaji pekerja, sewa bengkel, insurans, urusan bank, beli barang keperluan dan macam-macam lagi. Bila sama-sama bekerja baru dia tahu susah senang buat bisnes, jadi taklah menyusahkan saya minta beli benda-benda tak perlu.
''Berbalik pasal orang perempuan ni, bukan semua isteri pandai berfikir tentang masa depan mereka, kebanyakan isteri serahkan nasib dan masa depan bulat-bulat pada suami, ada juga yang jadikan suami tempat bergantung. Kalau suami panjang umur oklah, kalau pendek umur macam mana? Atau kalau suami kahwin lain apa nak jadi?
''Sebenarnya saya tak faham perangai sesetengah orang pompuan ini, kadang kala baik mereka tak kena tempat, tak pakai otak, lekas cair kalau kena pujukan suami. Suami minta duit bagi, nak gadaikan barang emas pun bagi, suruh pinjam duit bank dia patuh, suruh jadi penjamin sanggup, mereka percaya suami 200 peratus.
''Akhirnya bila dapat tahu suami ada perempuan lain mulalah melenting. Marahkan suami. Konon tak setia pada cinta yang diikat, tapi dia lupa semua itu berlaku kerana kebodohan mereka yang terlalu taksub percayakan suami. Ada isteri kata dia mesti taat pada suami. Itu betul! Tapi nak taat pun tengok suami juga, jenis suami yang macam mana, bukan taat membuta tuli. Peliknya, bila suami pandai pujuk dengan '1001 dramanya' isteri percaya habis, sebab tulah mereka selalu kena tipu.
''Itu bab suami yang tak berduit nak berbini dua tiga. Tapi kalau suami ada duit nak kahwin tiga ke, empat ke, isteri tak boleh marah. Terutama kalau suami dah siapkan segala-galanya untuk kesenangan dan kemewahan untuk isteri, dia mampu, apa salah dia kahwin lebih.
''Kalau isteri nak marah juga dia memang tak pakai otak. Dia fikir suaminya milik dia seorang sampai mati? Kalau seseorang isteri itu ada pegangan agama yang kuat dia tak boleh marah. Dia mesti izinkan suaminya kahwin lagi. Sebab suaminya mampu.
''Isteri jangan lupa anda ada ikatan kontrak. Kalau sudah ditentukan dia kena bermadu, dia kena terima dengan ikhlas. Bukan sembarangan kontrak. Kontrak itu dia buat sebelum dia lahir lagi, bukan dia buat ikrar dengan orang tepi jalan, tapi dengan Allah. Mana boleh ingkar. Dia kena terima hakikat dia kena bermadu dengan baik. Kena terima qadak dan qadar sebab tu kena percaya Rukun Iman. Kalau tidak dia tak beriman pada Allah.
''Tapi kalau dia tak setuju atau nak memohon perubahan kontrak yang dipersetujui dahulu, maka dia kena minta pada Allah. Tengoklah lepas buat permohonan baru sama ada Allah makbulkan atau tidak. Kalau ditolak, maka dia kena terima hakikat dia kena bermadu. Bab ini orang perempuan selalu lupa tentang kontrak yang dia sudah tanda tangan depan Allah.
''Mereka suka bertindak ikut emosi bahawa dia saja yang betul. Isteri juga kena cermin-cermin diri, apakah dia betul-betul sudah menjadi isteri yang baik atau sebaliknya,'' demikian cerita Badrul.
Kesimpulannya, kebanyakan perceraian di kalangan pasangan muda berpunca dari isteri yang terlalu bergantung hidup dan percayakan suami. Apabila rahsia suami terbuka misalnya ada kekasih, barulah timbul rasa marah kerana merasa dirinya tertipu. Ketika itu segala-galanya sudah terlambat.
Saya tertarik dengan cerita Badrul kerana keikhlasanya bercerita dan memberi pandangan secara jujur terhadap masalah kaum wanita hari ini terutama jika ingin rumah tangga mereka aman damai, di samping membongkar dan menceritakan rahsia hati kaum lelaki terhadap wanita yang tidak bekerja. Semoga anda mendapat iktibar.
Monday, June 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment