Monday, July 6, 2009

Hantu sebagai bahan Pameran

Pernah berlakukah dalam sejarah Islam, hantu dijadikan bahan pameran? Adakah Pameran Hantu ini boleh menyebabkan syirik?

Soalan

1. Pernah berlakukah dalam sejarah Islam, hantu dijadikan bahan pameran?

2. Terkesankah aqidah umat Islam apabila ada yang menolak mentah-mentah pameran itu, dengan mengatakan pameran sedemikian adalah syirik dan wajib dijauhi kerana hantu sedemikian tidak pernah wujud.


Jawapan 1

Dari maklumat saya yang terbatas khasnya dalam bidang pameran yang dimaksudkan, saya tidak pernah bersua sebarang maklumat sepanjang sejarah, meskipun buku-buku rujukan yang banyak saya ikuti, buku-buku yang memperkatakan tentang makhluk halus, tidak pernah didengari makhluk halus telah menjadi makhluk kasar berupa paras, ditangkap dan dimatikan manusia untuk dijadikan bahan pameran.

Sebenarnya dalam kehidupan insan, kita sentiasa bertemu dengan maklumat ada beberapa kumpulan masyarakat Barat dan Timur, begitu bersungguh mencari bukti, membuktikan makhluk halus secara fizikal.

Saya sendiri secara peribadi, telah ditemui oleh beberapa pengkaji daripada luar negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah, mereka menemuramah dan disiarkan di televisen Perancis dan dalam Discovery Channel, meminta saya menggambarkan makhluk halus daripada pengalaman yang sebenar.

Secara fizikalnya belum ada yang dapat membuktikan ia wujud. Secara imaginasinya hasil daripada pengalaman pertemuan dalam beberapa episod, interaksi insan yang dirasuk makhluk halus, itulah yang paling banyak boleh digambarkan.

Banyak orang menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapat bukti nyata, seperti memasang kamera yang dihalakan di tempat-tempat yang didakwa ada makhluk halus, dikumpulkan beberapa orang di tempat tertentu dan mereka berkomunikasi dengan makhluk ini, semuanya berlaku sekadar imbasan, bayangan dan rupa paras yang tidak pasti.

Dalam istilah Arab, hal-hal yang sedemikian ini disebutkan sebagai al-ashbaah atau bayang-bayang. Seolah-olah masyarakat Arab menggambarkan makhluk halus tidak lebih dari bayang-bayang yang boleh dilihat tetapi tidak boleh dipegang.

Maka dengan itu, sampai ke peringkat ada yang tidak mempercayai makhluk halus wujud kerana tidak pernah dilihat secara fizikal dalam sejarah sama ada dilihat dengan mata atau dipegang dengan tangan.

Oleh itu jelas dalam sejarah tidak pernah wujud sebarang pameran makhluk halus yang dijelmakan untuk tontonan manusia, apa yang dipamerkan bukan realiti kerana realitinya belum pernah berlaku.


Jawapan 2

Tidak mempercayai adanya makhluk halus yang diistilahkan sebagai syaitan, jin, iblis dan sebagainya, sama dengan hantu, polong, langsuyar atau sebagainya, menjejaskan aqidah.

Mempercayainya memperkukuhkan aqidah.

Makhluk ini disebut dalam al-Quran begitu banyak, bukan sahaja berulang kali disebut perkataan jin, iblis atau syaitan sahaja, tetapi al-Quran dan al-Hadis turut menggambarkan hal kejadian mereka, beban amanah yang mereka tanggung sebagai makhluk, hal mereka beriman, mereka kufur, mereka menyakiti anak Adam, mereka bermasyarakat, berkahwin dan beranak pinak.

Oleh itu mempercayai adanya mereka aqidah umat Islam yang berteraskan al-Quran.

Adapun menolak mentah-mentah adanya makhluk itu, menafikan kewujudan mereka, ertinya mereka menafikan benarnya al-Quran.

Adapun yang merujuk kepada pameran, pameran sedemikian itu dikatakan syirik, persoalan ini perlu dilihat daripada beberapa sudut, sudut wujudnya makhluk halus itu, adalah suatu realiti.

Jika dilihat dari sudut bolehkah manusia mempercayai bahawa makhluk-makhluk ini boleh melindungi manusia, lalu manusia meminta perlindungan daripada mereka.

Sehingga manusian menyahut seruan supaya melakukan sesuatu yang syirik seperti menyembelih binatang untuk mereka, melakukan ibadah atas perintah mereka, melupakan Allah S.W.T sebagai pelindung dan menjadikan syaitan sebagai pelindung, hantu sebagai pembela dan sebagainya.

Bagi yang menolak mentah-mentah pameran seperti ini, terpulang kepada bicara ilmu masing-masing. Jika diyakini bahawa yang dipamerkan itu sebenarnya bukan hantu, tetapi adalah karya seni yang dikatakan realiti, membohongi masyarakat sesuatu yang tidak wujud dikatakan wujud (dijelmakan dalam bentuk realiti), maka elok masyarakat berhati-hati untuk mempercayainya.

Sebab itu saya mencadangkan supaya bahan-bahan yang dipamerkan itu (yang dikatakan hantu), diuji dalam makmal dan dibuat kajian akademik bagi membuktikan ianya sebagai benar, supaya masyarakat tidak tertipu.

Menerima dan menolak itu adalah hak manusi, tetapi hak ilmu untuk dibuktikan, harus dijadikan panduan untuk mengajar manusia menerima suatu hakikat sebelum mempercayainya.

Saya sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya tujuan dianjurkan pameran tersebut, sekiranya ia bertujuan memberi pengetahuan sebenar kepada masyarakat tentang alam makhluk halus maka ia perlu diasaskan pada asas ilmu yang sah disini Islam.

Jika ianya sebagai suatu bisnes menggunakan suatu teknik untuk menarik perhatian pengunjung, menghasilkan tujuan material sedangkan bahan yang dipamer bukan realiti, maka ia memerlukan suatu pembetulan.

Kita tidak mahu masyarakat tertipu dengan gambaran yang tidak betul.

Diandaikan ianya dibuat hasil kajian yang menyeluruh, ia benar-benar realiti, kita boleh berbangga, dunia umumnya belum dapat membuktikan hal sedemikian, tetapi rakyat Malaysia boleh. Wallahu a'lam.

No comments: