Friday, November 7, 2008

SKRIP KANAK-KANAK

TAJUK : Kordi dan binatang peliharaannya.
WATAK UTAMA : Kordi
WATAK SAMPINGAN : Si Tompok (lembu), gajah, Usop, Botak, Atan, Pak
Samad, Si A, Si B, Si C, penumpang 1,
penumpang 2 dan penumpang 3.
LATAR BELAKANG : Di Kampung Kota Buruk


Di dalam sebuah kampung yang diberi nama Kota Buruk, tinggal seorang pemuda bernama Kordi. Dia mempunyai seekor lembu peliharaan yang diberi nama Si Tompok. Pada suatu pagi……

Kordi : Ha… tambat di sinilah, sementara aku makan mee goreng di rumah.
( sambil mengikat lembunya pada sebatang pokok buah mangga)

25 minit kemudian di rumahnya…

Kordi : Burpp…kenyangnya makan mee goreng ni. Eh, apa khabar agaknya
lembu aku.

Berlari menuju ke tempat lembunya….

Kordi : Hah, lembu aku? Mana lembu aku? Cess! Penjenayah mana pula yang
mencuri lembu aku ni?

Tiba-tiba dia terpandang di atas pokok mempelam.

Kordi : Woi, kau buat apa kat atas pokok tu? Mati-mati aku ingat kau kena culik
tadi.
Si Tompok : Nyam….. nyam…. Sedapnya mempelam ni, nak ke bos?(Dalam hati
kecilnya berbisik).
Kordi : Eh! Eh! Kau ni, betul-betul menyusahkan aku aje. Nanti aku sembelih
buat korban baru kau tahu.
Si Tompok : (Dalam hatinya berbicara ). Ampun bos, ampun. Janji tak buat lagi.
Kordi : Geramnya aku! Kau ni tak habis-habis menyusahkan hidup aku .
(Mengheret lembunya pulang ke kandang di belakang
rumahnya).

Keesokan harinya, di warung Pak Ali, Kordi, Botak dan Usop sedang berbual-bual sambil minum secawan teh tarik.

Kordi : Aku dah bosan lah pelihara lembu. Lembu aku tu selalu buat hal. Ada-
ada je perangainya yang menyakitkan hati aku. Kau orang nak tahu tak,
semalam dia panjat pokok mangga kat belakang rumah aku tu. Mati-mati
aku ingat dia kena culik.
Usop : La… biasa la tu. Lembu kau tu kan tengah mengidam.
Kordi : Mengidam apa ke bendanya. Lembu aku tu lelaki lah bodoh.
Usop : Eh! Eh! aku lupa lah. Habis tu kau nak buat apa?
Kordi : Tu yang aku tengah fikir ni. Kau orang ada apa-apa idea tak?
Botak : Kalau macam tu, kau peliharalah kerbau.
Kordi : Lembu dengan kerbau kan lebih kurang je Tak. Dari spesies yang sama.
Membosankan.
Usop : Kalau kau nak kelainan, kau peliharalah Zirafah.
Botak : Kalau tak pun, kau peliharalah labi-labi. Pelihara kerengga pun best juga.
Amacam, bagus tak idea aku?
Kordi : Aah… semuanya tak best ! aku nak pelihara sesuatu yang boleh
mendatangkan keuntungan dan boleh menyeronokkan sesiapa sahaja
yang melihatnya.
Usop : Kalau kau nak untung, pelihara toyol lah Kordi. Boleh suruh dia curi duit.
Kordi : Apalah kau ni Usop…. Berdosa tu ! mak aku tak pernah ajar aku buat
kerja macam tu. Kau jangan Sop !
Usop : Okey, okey, aku minta maaf. Aku bergurau je lah. Janganlah kau ambil
hati pula.
Botak : Habis tu apa keputusan kau? Kau nak pelihara apa?
Kordi : Bila aku fikir baik-baiklah kan, aku nak pelihara gajahlah. Kat dalam
kampung kita ni, mana ada lagi orang pelihara gajah. Nanti akulah orang
pertama yang memulakan operasi ini. Mesti orang kampung bangga
dengan aku nanti.
Botak : Gajah ? wa ka,ka,ka,ka! (Botak ketawa berdekah-dekah sambil
memegang perutnya)
Usop : Ha! Ha! Ha! Nak bela gajah pula. (Usop turut ketawa menandakan terlalu gelihati dengan kata-kata Kordi).
Kordi : Woi, aku serius ni. Kau orang gelak pulak! Apa salahnya aku pelihara
gajah. Dia pun haiwan peliharaan juga.
Botak : Kordi! Kordi! Lebih baik kau lupakan hasrat murni kau nak bela gajah tu.
Kau pelihara lembupun dah huru hara dibuatnya. Inikan nak pelihara gajah konon.
Usop : Nak bela gajah! Ee…ee… takunya…. (sambil berpura-pura
menyembunyikan diri di belakang Botak menunjukkan ketakutan).
Botak : Bela gajah mainan bolehlah. Ha…ha…ha… (Botak ketawa lagi).
Kordi : Kau orang ketawakan aku ya! Tak pe….tak pe….aku akan buktikan pada
kau orang berdua bahawa aku akan mendapat banyak keuntungan dengan memelihara gajah.
Usop : Untung apa? Rugi adalah…apa taknya, gajah kan kuat makan. Nanti tak
pasal-pasal habis duit beli makanannya aje.
Botak : Ha…..ha….ha…boleh bankrap kau Kordi. (Usop dan Botak ketawa dan
ketawa lagi).

Kordi dengan perasaan kecewa, bingkas bangun dan membayar wang minuman untuk ketiga-tiganya dan berlalu pergi dari warung Pak Ali.

Beberapa minggu kemudian, di bawah sebatang pokok kelapa di tepi jalan……..

Usop : Eh! apa cerita dengan Kordi ye? Lama tak nampak dia. Aku dengar dia
dah beli gajah idamannya tu.
Botak : Iya lah. Aku pun ada dengar juga. Entah-entah dah mati kot, kena pijak
dengan gajah peliharaannya.
Usop : Eh! eh tak baik kau ni. Betul ni, aku dah lama tak jumpa dia. Kali terakhir
kita jumpa dia pun kat warung Pak Ali dua minggu yang lalu.
Botak : Ya lah. Aku pun sama. Masa tu kita asyik gelakkan dia je. Entah, entah
dia merajuk dengan kita kot.
Usop : Tak tahu lah.

Beberapa minit kemudian, kelihatan Atan sambil berlari-lari anak lalu di hadapan Usop dan Botak yang sedang asyik berborak.

Usop : Eh, Atan, nak ke mana tu? Tergopoh-gopah nampaknya. Macam kena
kejar hantu je!
Atan : Pergi ke rumah abang Kordi la!
Botak : Kenapa nak pergi ke rumah Kordi. Apa yang menarik sangat kat rumah
dia tu? Ada goreng pisang panas ke?
Atan : Mestilah ada sesuatu yang best. Sebab tu lah orang nak ke sana.
Usop : Huh! Apa yang best sangat kat rumah Kordi tu? Sampaikan Si Atan tu
tak sabar-sabar nak pergi ke rumah Kordi.
Botak : Aku pun tak tahu. Ni yang aku nak tahu ni……..

Lima minit kemudian, lalu pula Pak Samad dan anaknya………

Usop : Assalamualaikum Pak Samad, nak ke mana dua beranak ni? Macam nak cepat je.
Pak Samad : Waalaikummussalam. Kami berdua ni nak pergi ke rumah Kordi. Best
tau! Kau orang berdua ni tak pergi sama ke?
Ali : Cepat lah pak, nanti lambat pula sampai. Takut tak sempat nak naik.
Pak Samad : Baiklah Usop, Botak, kami pergi dulu. Nanti kau orang pergi la ya!
Usop & Botak: Baiklah Pak Samad. Pak Samad jalan dulu. Nanti kita orang ikut lah.
Botak : Sop, apa kata kalau kita pergi ke rumah Kordi. Nanti dapatlah kita tahu
apa yang berlaku sebenarnya.
Usop : Boleh juga. Jomlah.

Usop dan Botak berjalan kaki menuju ke rumah Kordi. Kemudian, mereka bersembunyi di sebalik pokok rambutan yang berhampiran dengan rumah Kordi untuk mengintai apa yang berlaku sebenarnya.

Usop : Apasal ramai sangat orang kat rumah Kordi tu ha? Ada buat kenduri ke?
Takkanlah Kordi kahwin kot.
Botak : Tak tahulah. Tengok tu…. Ramainya orang beratur.
Usop : Jomlah kita pergi ke sana. ( Sambil jarinya menunjuk ke arah rumah
Kordi).
Botak : Tunggulah dulu. Nanti Kordi nampak malu kita.

Di hadapan rumah Kordi….
Orang ramai sedang beratur menunggu giliran untuk membeli tiket bagi menaiki gajah Kordi. Berhampiran dengan kaunter tiket terdapat satu papan tanda yang bertulis “ Mari naik Gajah Special Rm 10 Satu Round”.
Di kaunter tiket…..

Adik Kordi : Siapa yang tak bayar lagi, mari sini! Bayar dan ambil tiket.
Mari…..mari….
Budak A : Cepatlah. Lambatnya.
Budak B : Sabarlah. Sabar itu kan separuh daripada iman.
Budak C : Tak sabarnya….
Adik Kordi : Jangan berebut. Sabar,sabar. Pasti semua dapat menaikinya.

Sementara itu, penumpang yang berada di atas gajah….

Penumpang 1: Yeah! Bestnya naik gajah, macam naik kapal terbang je.
Penumpang 2: He, gayat…..gayat…..
Penumpang 3: Hi,hi, laju lagi….laju lagi….

Kordi dengan bangganya menarik tali gajah mengelilingi kampungnya.

Kordi : Lagi dua bulan, boleh jadi jutawan aku. He….he…he…

Usop dan Botak masih lagi berada di belakang pokok rambutan.

Botak : Sop, aku pun teringin juga nak naik gajah Si Kordi tu. Kita pun tak
pernah naik gajah.
Usop : Tak boleh Tak. Kita kan dah ketawakan Kordi hari tu. Takkanlah kita nak
naik kot. Marilah kita naik teksi je….
Botak : La… tak palah Sop. Bila lagi nak merasa naik gajah. Kita minta maaflah
dengan Kordi tu. Mesti Kordi maafkan kita. Kitakan dah lama berkawan.

Tiba-tiba…..

Usop : Aduh! Aduh! Sakitnya. Tolonglah buangkan kerengga kat belakang aku
ni.
Botak : Aduh! Aku pun sakit juga. Jomlah kita balik.

Semua yang berada di rumah Kordi termasuklah Kordi kehairanan apabila mendengar jeritan suara Usop dan Botak di belakang pokok rambutan. Usop dan Botak pula berlari kesakitan kerana digigit kerengga yang terdapat di atas pokok rambutan itu. Kordi dan yang lain-lain ketawa melihat gelagat Usop dan Botak.




Di anjung tangga rumah Usop…..

Botak : Tulah kau Sop. Nak sembunyi kat bawah rambutan tu bukannya nak
tengok dulu ada kerengga ke tidak. Buat malu je. Tu, nasib baik
kerengga, kalau lebah, mahunya mati kita kat situ.
Usop : Eh, eh, nak salah kan aku pulak. Yang kau tu dok lama-lama kat situ
buat apa. Bukannya lepas tengok tu terus balik je.
Botak : Dah lah. Tak ada gunanya kita saling salah menyalahi. Yang pentingnya
kita dah mendapat malu yang teramat sangat. Baik kita fikir, bagaimana
cara kita nak tebus balik maruah kita tu.
Usop : Betul juga cakap kau tu. Senang je Tak. Apa kata kita pergi jumpa Kordi
dan minta maaf darinya atas apa yang kita buat kat dia hari tu.
Botak : Bagus juga idea kau tu. Tak ku sangkakan otak kau ni kan kadang-
kadang boleh dipakai juga.
Usop : Tengok oranglah beb!
Botak : Baiklah, esok pagi-pagi lagi kita pergi ke rumah Kordi.

Kordi di kandang gajahnya…..
Kandang gajahnya terletak bersebelahan dengan kandang lembunya.

Kordi : Debok (nama panggilan untuk gajahnya), tak sia-sia aku pelihara kau.
Walaupun kau ni makan banyak, tapi kau banyak memberi keuntungan kepada aku.
Debok : mengibas-ngibaskan ekornya. Di dalam hatinya. Tengok orang lah bos.

Kordi menutup kandang gajahnya dan naik ke atas rumah.
Dialog antara Debok dan Si Tompok….

Debok :Hei, Tompok. Kenapa muram je?
Si Tompok : Mana aku tak muram. Sejak kau ada, bos tu seolah-olah tidak
mempedulikan aku aje! Aku sedar siapa diriku ini. Aku hanyalah seekor
lembu yang tidak memberi apa-apa keuntungan kepada bos kita. Aku
memang tak berguna. (sambil menangis)
Debok : Kenapa kau cakap macam tu. Janganlah fikir yang bukan-bukan. Bos tu
sayang kan kita berdua. Kalau dia tak sayangkan kau, mesti dia dah jual atau sembelih kau buat gulai kawah. Cuma apa yang dia terkilan, sikap kau yang tak dengar kata tu. Dia tambat kau kat tepi sungai, kau pergi mandi, dia tambat kat bawah pokok mempelam, kau pergi panjat buah mempelam. Macammana bos tak geram.
Si Tompok : Betul ke macam tu. Cuba kau bagi idea macam mana nak tambat
kembali hati bos kita yang dah tawar hati kat aku ni.

Debok mengibas-ngibaskan telinga dan belalainya sambil berfikir….

Debok : Oh ya! Apa kata kalau kau bawa penumpang macam aku bawa. Nanti
baru bos rasa kau bermakna untuk dia.
Si Tompok : Tapi bagaimana caranya?
Debok : Macam ni. Masa aku bawa pemumpang, nanti aku angkat lah seorang
budak letak kat belakang kau.
Si Tompok : Eh, nanti tak ke terkejut budak tu. Kan tak pasal-pasal kau kena marah
kat bos.
Debok : La, mula-mula memanglah kita kena tanggung risiko. Tapi kau kenalah
pandai bawa budak tu. Jangan bawa laju-laju. Nanti mesti bospun akan terfikir macammana kau boleh membuatnya untung. Bos kita kan otak berniaga.
Si Tompok : Kalau begitu, kita mulakan misi kita esok hari.
Debok : okey, beres.

Pada pagi esoknya, sesudah subuh, Usop dan Botak sudahpun berada di hadapan rumah Kordi.

Usop : Cepatlah, kau bagilah salam.
Botak : Kaulah. Aku takut lah.
Usop : Kau ni memang tak boleh haraplah. Assalamualaikum,
Kordi…Assalamualaikum.

Suasana sepi…tiada sambutan salam dari tuan rumah.

Usop : Kordi tengah tidur lah. Kaulah pula yang bagi salam.
Botak : As…As..Assalamualaikum Kordi.

Tiba-tiba…Krpppp…. Pintu rumah dibuka.

Kordi : Waalaikummussalam. Siapa tu. ( sambil mengurut-ngurut matanya yang
masih mengantuk).
Usop : Kami lah. Usop dan Botak.
Kordi : Eh, kau Sop, Tak. Apahalnya pagi-pagi buta ni. Aku tak buka Kaunter
lagilah. Kau orang ni nak beli tiket nak naik gajah aku ke?
Botak : Tak adalah Kordi. Kita orang datang ni nak minta maaf dengan kau.
Sebab hari tu, masa kat warung Pak Ali, kita orang asyik ketawakan kau
sebab masa tu kau cakap kau nak pelihara gajah.
Usop : Ya lah Kordi, aku pun nak minta maaf juga. Aku rasa malu pada kau
sebab kau berjaya membuktikan yang kata-kata kau hari tu betul. Aku betul-betul tabik kau kau lah. Tahniah aku ucapkan.
Kordi : Terima kasih, terima kasih. La, kau orang ni aku tak ada apa-apalah. Aku
tak terasa hati pun dengan kau orang hari tu. Cuma, sejak akhir-akhir ni aku sibuk sikit, sebab tu tak dapat sertai kau orang. Aku pun memang tengah cari kau orang.
Usop : Apasal kau cari kita orang. Ada berita gembira ke?
Kordi : Tak adalah. Aku Cuma nak bagi kau orang kerja sikit.Tu pun kalau kau
orang nak la. Manalah tahu kot-kot kau orang nak tambah pendapatan.
Botak : Apa kerjanya kordi. Kami ni ikut je. Apa-apa kerjapun kami terima.
Kordi : Ia ke kau orang tak kisah. Aku nak suruh kau orang tolong mandikan
gajah aku dan beri makanannya.
Usop & Botak: Eh, ia ke Kordi. Boleh! Boleh! Kami terima dengan sepuluh jari.
Kordi : Kalau macam tu baiklah. Petang nanti bolehlah kau orang mulakan.
Usop : Baik bos. Kalau macam tu kita orang balik dulu. Jumpa lagi petang ni.
Kordi : Baiklah.

Tengah hari itu orang ramai berpusu-pusu datang untuk menaiki gajah. Pada hari itu gajah dan lembu akan memulakan misi pertama mereka.

Debok : Tompok, kau bersedia nanti ye. Jangan pula misi kita hari ni gagal.
Si Tompok : Baik Debok. Aku akan buktikan pada bos kita yang aku juga mampu buat
apa yang dia nak.

Maka, tibalah saat yang ditunggu-tunggu. Semasa orang ramai menaiki gajah. Tiba-tiba Debok dengan menggunakan belalainya mengangkat seorang budak lelaki dan meletakkannya di atas belakang Si Tompok. Tak disangka-sangka budak itu bukan main seronoknya apabila badannya diangkat dan diletakkan di atas badan Tompok. Tompok apalagi, dengan gembiranya membawa budak itu berjalan mengelilingi satu kampung. Akhirnya misi mereka berjaya. Kordi yang terkejut melihat kejadiaan itu, tersenyum lebar apabila Si Tompok akhirnya menjadi seekor lembu yang berguna…..

No comments: